Skip to main content
PERLINDUNGAN DATA PERIBADI
Oleh : Mohd Fairuz Mohd Yusof
Penolong Pengarah
Pusat Bank Data Negara dan Inovasi
ICU JPM

TUJUAN
Perlindungan Data Peribadi bertujuan untuk memberi perlindungan kepada maklumat peribadi seseorang individu yang diproses untuk tujuan transaksi komersial. Semua individu dan organisasi yang memproses data peribadi dalam urusan mereka mesti mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan dalam Akta Perlindungan Data Peribadi 2010. Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dikecualikan.

DATA PERIBADI
Data yang dilindungi dalam akta ini adalah ‘sebarang data yang membolehkan seseorang individu yang masih hidup dikenalpasti’. Contoh data boleh dianggap sebagai data peribadi selagi seseorang individu yang masih hidup boleh dikenalpasti daripada maklumat atau data tersebut:
               i.         Nama dan alamat
              ii.         Nombor kad pengenalan
            iii.         Nombor pasport
            iv.         Maklumat kesihatan
              v.         Alamat e-mel
            vi.         Gambar
           vii.         lmej dalam rakaman litar tertutup (CCTV)
         viii.         Maklumat dalam fail peribadi

PENGGUNA DATA
Seseorang individu dan organisasi adalah terpakai di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi sekiranya mereka adalah ‘pengguna data’. Istilah ‘pengguna data’ adalah individu atau organisasi yang:
                                 i.         Memproses data peribadi, atau
                                ii.         Mempunyai kawalan terhadap pemprosesan data peribadi, atau
                              iii.         Membenarkan pemprosesan data peribadi
Seseorang pengguna data tidak boleh
               i.         dalam hal data peribadi selain data peribadi sensitif, memproses data peribadi mengenai seorang subjek data melainkan jika subjek data itu telah memberikan persetujuannya bagi pemprosesan data peribadi itu; atau
              ii.         dalam hal data peribadi sensitif, memproses data peribadi sensitif mengenai seorang subjek data kecuali mengikut peruntukan seksyen 40.


MEMPROSES DATA
Manakala ‘pemproses data’ tidak terpakai kepada seseorang individu atau organisasi yang memproses data peribadi bagi pihak pengguna data. Pengguna data bertanggungjawab terhadap aktiviti pemproses data. Ini adalah contoh senario yang berkaitan ‘Organisasi XYZ  mendapatkan khidmat organisasi ABC bagi memproses data bagi pihaknya, maka dalam hubungan ini, organisasi XYZ adalah pengguna data manakala organisasi ABC adalah pemproses data’. Akta ini menghendaki organisasi XYZ memastikan bahawa organisasi ABC memberi jaminan untuk mengambil langkah-langkah keselamatan bagi melindungi data yang diproses. Organisasi XYZ juga dikehendaki oleh Akta supaya memastikan bahawa organisasi ABC mematuhi langkah-langkah tersebut.

Seseorang pengguna data boleh memproses data peribadi mengenai seorang subjek data jika pemprosesan itu mematuhi :
               i.         bagi melaksanakan sesuatu kontrak yang subjek data itu ialah suatu pihak kepadanya;
              ii.         bagi mengambil langkah atas permintaan subjek data itu dengan tujuan untuk membuat sesuatu kontrak;
            iii.         bagi mematuhi apa-apa obligasi undang-undang yang pengguna data itu merupakan subjek baginya, selain suatu obligasi yang dikenakan oleh sesuatu kontrak;
            iv.         bagi melindungi kepentingan vital subjek data itu;
              v.         bagi mentadbirkan keadilan; atau
            vi.         bagi menjalankan apa-apa fungsi yang diberikan kepada mana-mana orang oleh atau di bawah mana-mana undang-undang.

Data peribadi tidak boleh diproses melainkan jika :
      i.         data peribadi itu diproses bagi maksud yang sah yang berhubungan secara langsung dengan aktiviti pengguna data itu;
     ii.         pemprosesan data peribadi itu perlu bagi atau berhubungan secara langsung dengan maksud itu; dan
   iii.         data peribadi itu adalah mencukupi tetapi tidak berlebihan berhubung dengan maksud itu

SUBJEK DATA
‘Subjek data’ adalah individu-individu yang mana data mereka diproses oleh pengguna data. Akta Perlindungan Data Peribadi memberikan peraturan mengenai amalan yang baik dalam memproses data peribadi individu yang masih hidup. Berikut adalah hak yang diberi kepada subjek data :
               i.         Hak untuk diberitahu samada data mereka diproses oleh sesebuah organisasi
              ii.         Hak untuk mengakses data peribadi
            iii.         Hak untuk membetulkan data peribadi
            iv.         Hak untuk menarik balik kebenaran memproses data peribadi
              v.         Hak untuk menghalang pemprosesan yang mungkin menyebabkan kerosakan atau tekanan (distress)
            vi.         Hak untuk menghalang pemprosesan bagi maksud pemasaran langsung

DATA SENSITIF
Data peribadi sensitif sebagai maklumat tentang kesihatan atau keadaan fizikal atau mental seseorang individu, pendapat politiknya, kepercayaan agamanya dan kepercayaan lain yang bersifat seumpamanya. Selain itu, perlakuan atau penyataan perlakuan apa-apa kesalahan seseorang individu juga adalah data peribadi sensitif. Akta tidak membenarkan pemprosesan data peribadi sensitif kecuali untuk tujuan-tujuan yang dinyatakan dalam Akta dan pemprosesan tersebut mestilah dengan persetujuan secara nyata dari subjek data.

Individu yang merasakan bahawa data peribadi mereka telah diproses melanggar peruntukan mana-mana peruntukan Akta boleh membuat aduan kepada Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi. Akta ini tidak memperuntukkan secara spesifik hak untuk menuntut ganti rugi jika  seseorang individu menuntut gantirugi sekiranya data peribadi mereka telah diproses menyalahi Akta.


KESELAMATAN
Seseorang pengguna data hendaklah, apabila memproses data peribadi, mengambil langkah yang praktikal untuk melindungi data peribadi itu daripada apa-apa kehilangan, salah guna, ubah suaian, akses atau penzahiran tanpa kebenaran atau tidak sengaja, pengubahan atau pemusnahan dengan mengambil kira

 i.         sifat data peribadi itu dan kemudaratan akibat daripada kehilangan, salah guna, ubah suaian, akses atau penzahiran tanpa kebenaran atau tidak sengaja, pengubahan atau pemusnahan itu;
 ii.         tempat atau lokasi di mana data peribadi itu disimpan;
iii.         apa-apa langkah keselamatan yang digabungkan ke dalam apa-apa kelengkapan yang dalamnya data peribadi itu disimpan;
iv.         langkah yang diambil untuk memastikan kebolehpercayaan, integriti dan kewibawaan personel yang mempunyai akses kepada data peribadi itu; dan
 v.         langkah yang diambil bagi memastikan pemindahan selamat data peribadi itu.

Manakala jika pemprosesan data peribadi dijalankan oleh seorang pemproses data bagi pihak pengguna data, pengguna data itu hendaklah, bagi maksud melindungi data peribadi itu daripada apa-apa kehilangan, salah guna, ubah suaian, akses atau penzahiran tanpa kebenaran atau tidak sengaja, pengubahan atau pemusnahan, memastikan bahawa pemproses data itu
      i.         memberikan jaminan yang mencukupi berkenaan dengan langkah keselamatan
     ii.         teknikal dan organisasi yang mengawal pemprosesan yang akan dijalankan; dan
   iii.         mengambil langkah yang munasabah bagi memastikan pematuhan langkah itu

PENYIMPANAN
Data peribadi yang diproses bagi apa-apa maksud tidak boleh disimpan lebih lama daripada yang diperlukan bagi memenuhi maksud itu. Adalah menjadi kewajipan seorang pengguna data untuk mengambil segala langkah yang munasabah untuk memastikan bahawa segala data peribadi dimusnahkan atau dipadamkan secara kekal jika data peribadi itu tidak lagi dikehendaki bagi maksud yang baginya data peribadi itu hendak diproses.

PRINSIP INTEGRITI DATA
Seseorang pengguna data hendaklah mengambil langkah yang munasabah untuk memastikan bahawa data peribadi adalah tepat, lengkap, tidak mengelirukan dan terkini dengan mengambil kira maksud, termasuk apa-apa maksud yang berhubungan secara langsung, yang baginya data peribadi itu dikumpulkan dan diproses selanjutnya.

AKSES
Seseorang subjek data hendaklah diberi akses kepada data peribadinya yang dipegang oleh seorang pengguna data dan boleh membetulkan data peribadi itu jika data peribadi itu tidak tepat, tidak lengkap, mengelirukan atau tidak terkini, kecuali jika pematuhan dengan permintaan untuk akses atau pembetulan itu enggan diberikan di bawah Akta ini.


REMEDI
Remedi di bawah akta ini adalah dalam bentuk kesalahan jenayah. Akta telah mewujudkan beberapa kesalahan jenayah baru, ini termasuklah kesalahan-kesalahan berikut:
               i.         Memproses data peribadi tanpa perakuan pendaftaran
              ii.         Memproses data peribadi selepas pendaftaran dibatalkan
            iii.         Melakukan perlanggaran terhadap mana-mana prinsip data
            iv.         Memproses data peribadi selepas persetujuan di tarik balik
              v.         Memproses data peribadi sensitif tidak mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan
            vi.         Menjual atau membuat tawaran untuk menjual data peribadi
           vii.         Kegagalan mematuhi kehendak Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi bagi mematuhi notis mengenai pemasaran langsung.

KETIDAKPAKAIAN AKTA
Ketidakpakaian akta ini adalah :
      i.         Akta ini tidak terpakai bagi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
     ii.         Akta ini tidak terpakai bagi apa-apa data peribadi yang diproses di luar MalaysIa melainkan jika data peribadi itu diniatkan untuk diproses selanjutnya di Malaysia.
   iii.         Akta ini tidak terpakai bagi sesuatu perniagaan pelaporan kredit yang dijalanklan oleh sesuatu Agensi Pelaporan Kredit di bawah Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010.
   iv.         Akta ini memberika pengecualian yang menyeluruh terhadap data peribadi yang diproses oleh individu bagi maksud hal ehwal peribadi, keluarga atau rumah tangga termasuk rekreasi.

Rujukan
1.     AKTA PERLINDUNGAN DATA PERIBADI 2010

Tarikh : 2 November 2017



NotaPenulisan ini adalah sebahagian daripada pembacaan. Sekiranya ia dirujuk, sebarang penambahbaikan, cadangan dan pandangan  bolehlah emel kepada mohdfairuz.mohdyusof@gmail.com




Comments

Popular posts from this blog

Industri 4.0 / IR 4.0 / Revolusi Perindustrian Keempat/ The Fourth Industrial Revolution

REVOLUSI PERINDUSTRIAN KEEMPAT / INDUSTRI 4.0 / IR 4.0 Oleh : Mohd Fairuz Mohd Yusof Penolong Pengarah Pusat Bank Data Negara dan Inovasi ICU JPM PENGENALAN Pada tahun 2020 dengan anggaran penduduk dunia mencecah 7.6 bilion, perkembangan semasa teknologi meramalkan 50 bilion peranti elektronik akan saling berinteraksi antara satu sama lain. Ini menunjukkan jumlah peranti yang berkomunikasi adalah melebihi jumlah manusia dengan setiap manusia memiliki kira-kira 6.58 peranti elektronik. Peranti yang saling berhubungan ini menjana data raya dan pengetahuan. Kemunculan gelombang teknologi baharu yang dikenali sebagai ‘The Fourth Industrial Revolution’ atau Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) dan era ‘Digital Economy’ atau Ekonomi Digital yang menyebabkan Kerajaan terus berusaha dalam menjayakan Dasar Digital Malaysia. SEJARAH Revolusi Industri – istilah diperkenalkan oleh ahli sejarah terkenal, Arnold Toynbee (1889-1975), adalah satu fenomena yang diangga

Industri 4.0 / IR 4.0 / Revolusi Perindustrian Keempat : Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11)

Rancangan Malaysia Kesebelas Dan Revolusi Perindustrian Keempat  Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) merujuk kepada perkembangan pesat revolusi digital yang merentas ruang siber, fizikal dan biologi merangkumi spektrum sektor ekonomi yang luas dan semua lapisan masyarakat. Antara teknologi trend mega yang menyokong 4IR termasuk pengkomputeran tahap tinggi serta peningkatan robotik termaju, kecerdasan buatan, internet benda (IoT), blockchain dan pencetakan 3D. Konsep 4IR berasal daripada Industrie 4.0 di Jerman. Industrie 4.0 merujuk kepada sistem pengeluaran pintar dalam sektor pembuatan. Dalam konteks Malaysia, istilah Industri 4.0 merujuk kepada maksud yang sama dan merupakan sebahagian daripada rangka kerja 4IR yang lebih besar. Antara beberapa aplikasi teknologi 4IR yang boleh digunakan dalam pelbagai sektor dan subsektor adalah seperti yang ditunjukkan dalam rajah.  Kemajuan pesat dalam ekonomi digital dan penumpuan teknologi termasuk teknologi disruptif telah me

Industri 4.0 / IR 4.0 / Revolusi Perindustrian Keempat : Rangka Kerja Dasar Negara Malaysia

Rangka Kerja Dasar Negara Mengenai Industri 4.0, 2018-2025 Kemunculan teknologi baharu seperti IoT, analitis data raya dan robotik termaju, boleh mengganggu model perniagaan dan proses pengeluaran. Penerimagunaan teknologi berkaitan Industri 4.0 akan dipergiat dengan pelancaran Dasar Negara Mengenai Industri 4.0, 2018-2025. Dasar tersebut menggariskan pelan tindakan dalam memangkin penerimagunaan teknologi berkaitan Industri 4.0 untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor pembuatan. Dalam hal ini, penilaian pematuhan tahap kesediaan firma terpilih akan dilaksana untuk menentukan jenis intervensi dan tahap bantuan teknikal yang diperlukan. Rangka Kerja Dasar Negara Mengenai Industri 4.0 adalah seperti yang ditunjukkan dalam rajah Rangka Kerja Dasar Negara Mengenai Industri 4.0 berperanan sebagai panduan strategik bagi membolehkan peralihan sektor pembuatan dan mempercepat penerimagunaan teknologi berkaitan Industri 4.0 sebagai tindak balas kepada Revolusi Perindu