Skip to main content

Industri 4.0 / IR 4.0 / Revolusi Perindustrian Keempat : Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11)



Rancangan Malaysia Kesebelas Dan Revolusi Perindustrian Keempat 

Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) merujuk kepada perkembangan pesat revolusi digital yang merentas ruang siber, fizikal dan biologi merangkumi spektrum sektor ekonomi yang luas dan semua lapisan masyarakat. Antara teknologi trend mega yang menyokong 4IR termasuk pengkomputeran tahap tinggi serta peningkatan robotik termaju, kecerdasan buatan, internet benda (IoT), blockchain dan pencetakan 3D. Konsep 4IR berasal daripada Industrie 4.0 di Jerman. Industrie 4.0 merujuk kepada sistem pengeluaran pintar dalam sektor pembuatan. Dalam konteks Malaysia, istilah Industri 4.0 merujuk kepada maksud yang sama dan merupakan sebahagian daripada rangka kerja 4IR yang lebih besar. Antara beberapa aplikasi teknologi 4IR yang boleh digunakan dalam pelbagai sektor dan subsektor adalah seperti yang ditunjukkan dalam rajah. 


Kemajuan pesat dalam ekonomi digital dan penumpuan teknologi termasuk teknologi disruptif telah memberi kesan kepada kerajaan, perniagaan dan individu dalam pelbagai aspek merangkumi daya saing ekonomi sehingga kepada gaya hidup seharian. Penerimagunaan teknologi 4IR secara kreatif, ketersambungan masa nyata dan penggunaan aset yang lebih baik dalam konteks ekonomi perkongsian telah mengubah model perniagaan serta kaedah penawaran dan perdagangan bagi produk dan perkhidmatan. Kemunculan teknologi disruptif, termasuk perkhidmatan e-panggilan seperti Uber dan Grab, telah mengubah mobiliti manusia dalam bentuk baharu yang tidak pernah dijangka, mewujudkan kesamaran pembezaan antara pengangkutan awam dengan kenderaan persendirian dan memberi cabaran kepada rangka kerja kawal selia. 

Kerajaan telah memperkenal inisiatif kawal selia sandbox nasional dengan mengambil kira kepantasan perubahan teknologi dan keperluan rangka kerja perundangan untuk memudah cara inovasi bagi membolehkan para inovator menguji idea dalam persekitaran sebenar. Bidang yang telah dikenal pasti di bawah inisiatif sandbox, antara lain, termasuk pertanian, bioteknologi, pendidikan, tenaga, kewangan, penjagaan kesihatan, telekomunikasi, pengangkutan, pelancongan, bandar pintar, teknologi hijau dan pengurusan sisa. 

Impak 4IR perlu dinilai secara menyeluruh dengan mengambil kira kepesatan kemajuan serta kesan mendalam dan meluas 4IR terhadap masyarakat. Antara kelebihan dan cabaran 4IR adalah seperti berikut : 

Kelebihan 
  • Menambah ketersambungan dengan menghubungkaitkan peranti dan IoT 
  • Meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos melalui rantaian nilai global pada masa sebenar 
  • Mempercepat inovasi dan tempahan mengikut penyesuaian secara massa melalui kaedah pembuatan pintar 
  • Mewujudkan perkhidmatan baharu dengan menggunakan analitis data raya 
Cabaran 
  • Peralihan pelaburan langsung asing ke negara berteknologi tinggi 
  • Peningkatan ancaman keselamatan siber dan hakisan kerahsiaan data peribadi 
  • Peralihan dalam pasaran buruh dengan pewujudan pekerjaan baharu manakala sebahagian pekerjaan sedia ada menjadi jumud 
  • Pengurangan komunikasi secara langsung akibat kebergantungan berlebihan kepada peranti 
Pembangunan teknologi yang pesat memerlukan Malaysia membuat anjakan paradigma daripada hanya sebagai pengguna teknologi kepada menjadi rakan pencipta teknologi. Dalam memacu anjakan ini, cabaran keperluan bakat perlu ditangani secara komprehensif. Keperluan ini termasuk peningkatan kemahiran dan latihan kemahiran semula tenaga kerja semasa serta membangunkan bakat yang diperlukan untuk masa hadapan. Bagi mencapai matlamat ini, kerjasama yang lebih erat antara akademia dengan institut penyelidikan serta institusi latihan teknikal dengan industri akan dipergiat.

Rujukan : Bab 15: Memperkukuh Pertumbuhan Ekonomi, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas

Nota : Penulisan ini adalah sebahagian daripada pembacaan. Sekiranya ia dirujuk, sebarang penambahbaikan, cadangan dan pandangan  bolehlah emel kepada mohdfairuz.mohdyusof@gmail.com

Comments

Popular posts from this blog

Industri 4.0 / IR 4.0 / Revolusi Perindustrian Keempat/ The Fourth Industrial Revolution

REVOLUSI PERINDUSTRIAN KEEMPAT / INDUSTRI 4.0 / IR 4.0 Oleh : Mohd Fairuz Mohd Yusof Penolong Pengarah Pusat Bank Data Negara dan Inovasi ICU JPM PENGENALAN Pada tahun 2020 dengan anggaran penduduk dunia mencecah 7.6 bilion, perkembangan semasa teknologi meramalkan 50 bilion peranti elektronik akan saling berinteraksi antara satu sama lain. Ini menunjukkan jumlah peranti yang berkomunikasi adalah melebihi jumlah manusia dengan setiap manusia memiliki kira-kira 6.58 peranti elektronik. Peranti yang saling berhubungan ini menjana data raya dan pengetahuan. Kemunculan gelombang teknologi baharu yang dikenali sebagai ‘The Fourth Industrial Revolution’ atau Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) dan era ‘Digital Economy’ atau Ekonomi Digital yang menyebabkan Kerajaan terus berusaha dalam menjayakan Dasar Digital Malaysia. SEJARAH Revolusi Industri – istilah diperkenalkan oleh ahli sejarah terkenal, Arnold Toynbee (1889-1975), adalah satu fenomena yan...

ZON PERDAGANGAN BEBAS DIGITAL / MALAYSIA DIGITAL FREE TRADE ZONE (DFTZ)

ZON PERDAGANGAN BEBAS DIGITAL / MALAYSIA DIGITAL FREE TRADE ZONE (DFTZ) Zon Perdagangan Bebas Digital ( DFTZ) merupakan suatu inisiatif untuk memanfaatkan perkembangan dan pertumbuhan ekonomi Internet dan aktiviti e-dagang merentas sempadan. DFTZ merupakan platform untuk memudahkan perdagangan melangkaui sempadan dengan lancar dan membolehkan perniagaan tempatan mengeksport barangan mereka dengan menjadikan e-dagang sebagai keutamaan. Pada 3 November 2017, Perdana Menteri Malaysia Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak bersama dengan Jack Ma, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Alibaba merasmikan Zon Dagangan Digital Bebas (DFTZ) yang bakal menyediakan zon fizikal dan digital untuk untuk memudahkan PKS memanfaatkan penumpuan pertumbuhan eksponen ekonomi internet dan aktiviti e-perdagangan merentas sempadan. LOKASI DFTZ DFTZ akan menggabungkan zon fizikal dan maya dengan perkhidmatan digital dan perkhidmatan dalam talian tambahan bagi memudahkan inovasi berasaskan...